top of page

Pernyataan Falsafah Pengajaran

10635915_10152437612518867_7122780622351

Falsafah pengajaran dan pembelajaran saya, Dr. Ahmad Fareed Bin Ismail telah saya bina dengan satu asas kukuh yang berpaksikan kepada nawaitu yang utama dengan lafaz akad “kerana Allah Taala”, yang kemudiannya barulah saya landaskan falsafah saya kepada tanggungjawab hakiki saya sebagai seorang warga pendidik. Saya berpendapat bahawa seorang pendidik bukan sekadar untuk mendidik anak bangsa semata-mata, tetapi lebih jauh daripada itu warga pendidik juga bertanggungjawab untuk merealisasi dan memanfaatkan ilmu kurniaan Illahi yang diamanahkan kepada saya yang kerdil ini untuk kemaslahatan dan pembinaan bangsa, agama dan negara. Saban hari dan saban masa, saya cuba memperhalusi nikmat ilmu yang dianugerahi ini sehingga tersemat di sanubari dan ternukil pula di minda saya, satu falsafah pengajaran dan pembelajaran dalam mendidik anak bangsa dengan satu simpulan  kalimah yang cukup bermakna dan tuntas menjadi panduan saya iaitulah kalimah:

B.I.J.A.K.

(BINA INSAN JAYA ATAS KEIKHLASAN)

​

Falsafah pengajaran BIJAK ini saya jiwai kerana saya berkeyakinan bahawa dalam berkongsi ilmu pengetahuan dengan anak didik kita semua, seorang warga pendidik itu memerlukan satu rasa keikhlasan yang cukup tinggi lagi tulus suci. Ini kerana, perkongsian ilmu tanpa rasa ikhlas, sudah pasti akan menjadi suatu kenanaran bahkan mungkin sahaja menjadi barah yang merosakkan segala usaha murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri. Mana mungkin, ilmu yang mulia itu mampu mendidik anak bangsa kita, jika ianya disampaikan dengan rasa tidak ikhlas yang mampu juga menjuruskan seorang pendidik itu untuk merasa curiga kepada anak didiknya sendiri. 

​

Misal katanya, seorang pendidik itu tiba-tiba terlintas disanubarinya untuk tidak menyampaikan ilmunya seikhlas hati atau berprasangka kepada anak didiknya sendiri lantas bertindak untuk  tidak berkongsi sepenuhnya ilmu yang dianugerahi Illahi kepadanya. Apa yang dicurigakan oleh warga pendidik seperti ini, adalah sebenarnya suatu bisikan palsu soldadu-soldadu Iblis yang membisikkan kata-kata prasangka hanya kerana dibayangi oleh rasa takut; kalau-kalau anak bangsa yang dididiknya itu nanti tiba-tiba mengatasi pencapaian dan ilmu yang ada pada dirinya sendiri. Nah jelas, sudah terang lagi bersuluh, inilah rasa curiga yang tidak berasas sama sekali!!

​

Justeru, saya merasakan keikhlasan dalam diri saya sebagai warga pendidik adalah suatu kerangka utama dalam menimbulkan rasa keghairahan (passionate) saya sebagai pendidik untuk terus berkembang mekar saban hari, saban minggu dan saban tahun. Saya yakin, dengan keghairahan yang terbina itulah sahaja saya mampu untuk memantapkan pengajaran saya dalam bidang kepakaran saya ini, InsyaAllah. Keghairahan ini juga akan membolehkan saya untuk terus merealisasikan salah satu pendekatan pengajaran saya iaitulah bercerita (story-telling) dan berkongsi  pengalaman realiti (reality experience sharing) dengan anak didik saya secara menarik berdasarkan pengalaman yang pernah saya lalui selama bergelumang dalam bidang e-perniagaan dan Pemasaran Internet ini. Saya yakin pendekatan ini adalah antara kekuatan pengajaran saya yang berkesan dalam membina minat anak didik saya dalam bidang pengajaran saya ini.  

​

​

Back to basic...my lovely office room..l
bottom of page